Pembubaran DUN Sarawak tidak berlaku pada 6 Jun

Iklan
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak akan berlaku pada 6 Jun depan.

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana kerajaan Sarawak masih lagi tertakluk kepada ordinan darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.

Iklan
Iklan

"Orang buat tanggapan bahawa DUN secara automatik akan terbubar pada 6 Jun ini tetapi sebenarnya tidak akan berlaku.

"Pengisytiharan darurat telah menggantungkan perlembagaan Malaysia dan juga semua negeri termasuk Sarawak. Kalau darurat tidak dibubar, maknanya perlembagaan dalam penggal ini masih tergantung,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Platform Warongku peringkat kebangsaan di SME Corp Malaysia di Platinum Sentral di sini pada Ahad.

Iklan

Wan Junaidi berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan boleh berlaku sekiranya mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, persetujuan perlu dilakukan oleh ketiga-tiga tersebut bagi membolehkan pilihan raya diadakan sebelum tamat darurat.

Iklan

"Negeri tidak boleh adakan pilihan raya melainkan Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.

"Apabila mereka bersetuju untuk mengisytiharkan hari pilihan raya di Sarawak, baru pilihan raya boleh diadakan,” ujarnya.

Tambah beliau, pilihan raya di Sarawak masih tidak sesuai untuk diadakan disebabkan kes harian Covid-19 di negeri tersebut masih tinggi dan tidak stabil.