ALOR SETAR - Masih terdapat ibu bapa yang tidak menghiraukan risiko apabila membawa bayi dan anak berusia bawah 12 tahun ke kawasan tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah ketika negara masih berdepan Covid-19.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, situasi itu antara yang beliau lihat semasa melakukan tinjauan prosedur operasi standard (SOP) di beberapa tempat awam di sekitar daerah ini pada Sabtu.
Beliau berkata, sekiranya orang ramai masih bersikap sambil lewa, adalah sukar untuk membantu kerajaan mengekang penularan Covid-19 yang kini sudah berlegar di sekeliling komuniti.
"Sedih saya tengok apabila ada yang membawa bayi dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah. Ada juga mendukung bayi yang baru lahir. Bayi ini pula tidak dipakaikan pelitup muka. Bagi saya ini antara ibu bapa yang betul-betul 'berani'.
"Bukan kita tidak boleh ambil tindakan tetapi kesannya akan berpanjangan. Saya menyeru bantulah kerajaan hapuskan sepenuhnya pandemik ini. Apabila sudah hapus, kita bebas maksudnya boleh pergi ke mana-mana tanpa sekatan seperti hari ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM, Datuk Seri Mazlan Lazim yang hadir menyerahkan 30 buah kenderaan jenis Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) bernilai lebih RM4 juta untuk kegunaan pelbagai tugas di Kedah.
Sementara itu, Hasanuddin berkata, walaupun kes Covid-19 harian di Kedah sekitar 30 hingga 50 kes sahaja sejak akhir-akhir ini, namun orang ramai masih perlu berhati-hati dan mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan.
"Kita kena ambil kira pandemik ini seperti berlaku di Selangor dan Kelantan yang mana angkanya cukup menakutkan. Kita perlu ambil iktibar kecuali terpaksa keluar kerana mempunyai perkara yang penting dan memang tidak dapat dielakkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sekatan jalan raya (SJR) di seluruh Kedah akan berjalan seperti biasa dengan penambahan arahan memeriksa dokumen merentas negeri dengan lebih teliti.
Menurutnya, hukuman lebih berat menanti mereka yang masih berani menggunakan dokumen palsu selepas diberikan amaran oleh pihak berkuasa sebelum ini.