KUANTAN - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) memperkenalkan Program komuniti@Finas (KoFi) sebagai usaha mengurangkan birokrasi dan memudahkan penyaluran dana Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) kepada pengiat filem dalam kalangan bakat-bakat baharu.
Program yang diperkenalkan bermula dengan negeri Pahang itu juga bertujuan untuk merakyatkan filem dan kerja-kerja pembikinan filem dalam kalangan komuniti.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, melalui program itu, proses penyaluran dana hanya dalam tempoh tiga minggu berbanding tiga bulan atau lebih sebelum ini.
Menurutnya, Finas sendiri turun padang mendekati bakat-bakat baharu melalui penganjuran bengkel yang terbuka kepada mereka yang berminat.
"Peserta yang mengikuti bengkel ini perlu membuat 'pitching' projek mereka bagi dana ini dan Allhamdulillah untuk program pertama di Pahang ini, seramai 116 bakat baharu menerima surat tawaran masing-masing membabitkan jumlah dana RM1.5 juta.
"Setiap peserta yang layak ditawarkan dana dari RM5,000 hingga RM20,000 untuk kandungan kreatif yang bakal dihasilkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Surat Tawaran Mikro Prisma Dana Kandungan Digital (DKD) Program Outreach Bahagian Pengurusan Produksi Finas di sini pada petang Sabtu.
Hadir sama Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Saifuddin berkata, melalui KoFi, peserta tidak hanya menghasilkan filem sebaliknya pelbagai journal lain termasuk dokumentari, video pendek, drama dan sebagainya untuk platform digital.
"Program KoFi ini penting kerana lazimnya bila ada bakat yang ingin ceburi bidang perfileman mereka perlu berhubung dengan Finas sendiri namun kali ini Finas turun padang dekati komuniti.
"Bakat untuk dana ini perlu diberi latihan kerana mereka masih baharu jadi perlukan panduan bagi menyakinkan pihak Finas untuk mengeluarkan dana itu.
"Program ini merupakan pendekatan baharu Finas turun padang dengan jenama KoFi dan ia akan diperluas ke negeri-negeri lain," katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, pihak Finas memperkenalkan kategori baharu filem kenegaraan menggunakan dana sedia ada sebagai tambahan kepada kategori mikro dan Dana Kandungan Digital (DKD).
Menurutnya, kategori filem kenegaraan ini diharap dapat menghasilkan filem-filem yang bersifat epik dan ada nilai nasionalisme, elemen agama, peradaban untuk bangunkan masyarakat terutama generasi muda.
"Filem kenegaraan ini bukan hanya untuk tayangan di pawagam tapi boleh diedar melalui cara lain. Sekarang belum ada hasil jadi kita harap ia akan ada dan ditayangkan di pawagan pada masa akan datang.
"Mungkin filem kenegaraan yang akan dihasilkan nanti boleh diedar ke institut pengajian tinggi (IPT) dan ke luar negeri untuk tontonan rakyat kita di negara-negara tertentu," katanya.
Jelas beliau, usaha itu sebagai salah satu usaha mempromosi jati diri Malaysia melalui filem tempatan.
"Alternatif ini juga satu langkah untuk permudah dan percepat pengeluaran dana Finas. Kita belajar daripada pengalaman lepas di mana dana RM550 juta untuk industri kreatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) tidak habis dibelanjakan.
"Finas hanya belanja tidak sampai 50 peratus namun untuk RMK12, kita minta kerajaan kekalkan jumlah itu kerana kita yakin ada cara untuk ia disalurkan," katanya.
Beliau berkata, untuk filem kenegaraan yang akan dihasilkan sudah pasti ada panel penilainya.
"Lazimnya skrip untuk filem ini akan dirujuk untuk pandangan dan nasihat pihak tertentu untuk dinilai supaya ia tidak lari daripada fakta sebenar," katanya.
Selain itu katanya, turut diperkenalkan kategori Road To Oscar bagaimanapun belum ada dana bagi tujuan tersebut ketika ini kerana belanjanya mungkin jauh lebih besar.