Tahap keselamatan terus dipertingkat

Iklan
Osman ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini, hari ini.
ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri akan menggalakkan penglibatan masyarakat secara langsung bagi memastikan persekitaran kehidupan rakyat yang selamat dan sejahtera.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri menyediakan sejumlah peruntukan bagi melaksanakan inisiatif yang memupuk perpaduan rakyat dan meningkatkan tahap keselamatan.

"Program Harapan Rakyat bagi kawasan Rukun Tetangga dengan peruntukan sebanyak RM280,000.

"Pemberian geran pengoperasian kawasan Rukun Tetangga dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

"Pemberian geran pengoperasian skim rondaan sukarela dengan peruntukan sebanyak RM100,000 secara berperingkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Osman berkata, bagi tahun depan, kerajaan negeri akan meneruskan pelaksanaan program Bandar Selamat oleh PBT dengan peruntukan RM11 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan memperuntukan RM20 juta untuk Dana Khas Bantuan Bencana sebagai bantuan segera jika peruntukan kewangan pelbagai jabatan mengambil masa dan tidak mencukupi.