Buat baik menerusi amalan, panduan al- Quran

Iklan
Rozaid Abdul Rahman

SHAH ALAM –"Apabila kita dapat mengukuhkan semula nilai moral dengan mengikuti apa yang disuruh ALLAH melalui al-Quran dan Rasul-Nya, saya yakin kita boleh membersihkan diri, mahupun negara daripada segala musibah, penyelewengan dan rasuah.”

Demikian kata Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Abdul Rahman ketika berkongsi pandangan terhadap penganjuran World #QuranHour 1442H/2021 di pejabatnya di Sinar Harian, 23 April lalu.

Iklan
Iklan

Beliau menekankan bahawa masalah masyarakat hari ini tidak mempraktikkan kandungan al-Quran dan hadis dalam kehidupan seharian sebagaimana diuar-uarkan oleh Pengerusi Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaakub.

"Kita sendiri atau negara tidak berada dalam keadaan gawat dari segala aspek termasuk ekonomi dan moral jika mempraktikkan dua sumber tersebut lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang mengekang pergerakan dan kerja seharian.

Iklan

"Ini menjadikan ekonomi lebih teruk. Dengan berpegang teguh kepada perintah ALLAH dan mencontohi Rasulullah SAW, walau apapun keadaan, kita dapat mengharungi kepayahan dan kesusahan dengan baik,” katanya.

Sebagai umat Islam, tambah beliau, kita mesti memberi keutamaan kepada apa jua usaha untuk membawa al-Quran sebagai panduan kehidupan.

Iklan

Penganjuran program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini bersesuaian pada Ramadan yang mulia untuk memperbanyakkan amalan membaca al-Quran.

"Kini, rata-rata masyarakat mengetahui World #QuranHour yang diadakan secara tahunan. Apa yang kita harapkan adalah penyertaan yang lebih aktif walaupun kita dihambat oleh kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani pandemik Covid-19.

"Membaca al-Quran tidak boleh terhenti, malah perlu diamalkan sepanjang bulan yang penuh barakah ini dan bulan-bulan seterusnya,” katanya.

Dalam konteks Sinar Harian, kata beliau, ia menjadi satu praktik untuk meneruskan publisiti dan hebahan apa jua program #QuranHour dalam pelbagai platform termasuk cetak, digital dan media sosial. Ini termasuk program video Sinar TV.

"Menjadi tanggungjawab Sinar Harian untuk terus bersama dan menyokong program tersebut selagi kita wujud di pasaran. Kita memberi komitmen sejak World #QuranHour di dilancarkan pada 2016 sehingga kini.

"Media merupakan platform terbaik untuk menyampaikan sebarang maklumat kepada masyarakat. Menerusi media juga, kita berharap perkara baik dan dituntut dalam al-Quran dan hadis dapat disebarluaskan.”

Ditanya mengenai al-Quran yang terkesan di hati, Rozaid memilih Surah al-Mulk yang menceritakan pemerintahan. Ia boleh dijadikan panduan dari masa ke masa kepada umat Islam.

"Pemerintah dan pengikut umpama imam dan makmum yang perlu selari dengan arahan yang baik. Jika kedua-duanya bercanggah, ia boleh mendatangkan bencana. Kita perlu menjadi pemimpin yang baik dan pengikut yang mendengar arahan yang baik.

"Kita hanya penumpang di muka bumi. Jadi kita layari kehidupan ini dengan sebaik mungkin dengan berpandukan al-Quran dan Hadis. Segala apa yang ada di bumi, langit dan cakerawala adalah milik ALLAH SWT,” katanya.

World #QuranHour yang membawa Misi Surah al-Mulk akan diadakan pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei ini, pada jam 12 hingga 1 tengah hari.

Orang ramai boleh menyaksikan siaran langsung program tersebut yang dibawakan khas dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya melalui saluran Astro Oasis, TV Alhijrah dan Bernama TV serta platform digital Sinar Harian.

Untuk menyertai dan menganjur World #QuranHour pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei ini, sila daftar lokasi anda di http://bit.ly/HOTSPOT1442H. Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.facebook.com/WorldQuranHour