Nelayan asing ditahan ceroboh perairan negara

Iklan
Lima nelayan disyaki dari Indonesia ditahan Maritim di perairan Lumut. - Foto Maritim Perak

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tradisional disyaki dari Indonesia di kedudukan kira-kira 13 batu nautika barat daya Pulau Buloh di sini pada Sabtu.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan didapati dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Pintas kira-kira jam 1 petang.

Iklan
Iklan

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan lima kru warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Mereka berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun itu ditahan bersama hasil laut dianggarkan seberat 50 kilogram," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, bot tanpa nombor pendaftaran itu sedang melakukan aktiviti perikanan ketika ditahan.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu tiada kebenaran bertulis daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Kru dan tekong serta hasil tangkapan dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan untuk tindakan lanjut," katanya.

Tegas Shahrizan, penahanan itu membuktikan komitmen dan kepekaan Maritim terhadap setiap maklumat serta aduan daripada komuniti nelayan berkaitan salah laku serta pencerobohan perairan negara.

Katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 - 683 8737.