KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan akan tetap mempertahankan kerusi Parlimen Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang disandangnya ketika ini.
Beliau berkata, walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) berhasrat menuntut semula kerusi Parlimen Keningau pada pilihan raya akan datang namun tuntutan dianggap perkara biasa dalam politik.
"Mungkin kita mengambil perkara ini sebagai peringatan mesra supaya berusaha lebih lagi untuk mempertahankan kerusi berkenaan. Pendirian STAR memang akan pertahankan," katanya kepada pemberita selepas hadir melancarkan Kaamatan TV di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan PBS yang berhasrat menuntut semula kerusi Parlimen Keningau yang menjadi kerusi tradisi parti itu sebelum ini.
Sementara itu Setiausaha Agung STAR, Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi berkata, mereka faham keinginan PBS untuk mengimbas kembali sejarah tetapi tidak adil untuk STAR menyerahkan kerusi yang menjadi kubu kuat mereka di kawasan pedalaman Sabah itu.
"Apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan PBS yang ingin mengambil kerusi yang kini disandang oleh Presiden STAR sendiri.
"Untuk itu, kami menganggap kenyataan Presiden PBS itu sebagai kenyataan selaku rakan dalam gabungan. Ia kerana, bukan mudah untuk memenangi kerusi tersebut (Keningau) kerana kami bekerja keras selaku pembangkang ketika itu," katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, STAR bertanding di kerusi DUN Tambunan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas persetujuan di antara rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"STAR yang ketika itu bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) juga menang besar dengan majoriti lebih 6,000 undi.
"Terdapat usaha menggabungkan STAR dan PBS sebelum ini untuk menjadi STAR Bersatu namun usaha itu tidak mendapat maklum balas yang baik dalam kalangan pemimpin PBS.
"Kemungkinan ketika itu masih ada persepsi bahawa STAR hanya sebuah parti kecil yang cuba bertahan. Bagaimanapun, STAR masih terbuka untuk membincangkan soal gabungan itu demi perpaduan dalam GRS," katanya.
Guan Dee dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa STAR akan bekerjasama erat dengan PBS sebagai rakan gabungan bagi memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).