SHAH ALAM - Sekumpulan peniaga teh ais di Seksyen 7, di sini memilih untuk memakai kostum adiwira daripada filem terkenal Amerika bagi menarik pelanggan membeli minuman yang dijual.
Salah seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Anuar tidak menafikan dia pada mulanya kekok untuk mengenakan kostum Spiderman untuk melariskan jualan teh aisnya.
Bagaimanapun katanya, dia memberanikan diri untuk mencuba strategi unik tersebut bagi menarik lebih ramai pelanggan selepas melihat ramai yang membeli membeli produknya.
"Saya tak pernah berpakaian begini sebelum ini. Lagipun panas.
"Selepas beberapa hari saya berniaga dengan memakai kostum, ramai pelanggan datang untuk bergambar dan membeli minuman yang kami jual,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, isterinya, Che Marzatul Mahamud, 27, berkata, hasil jualan meningkat kepada 100 botol teh ais dalam sehari sejak mula berniaga tiga bulan lalu.
Ujarnya, idea memakai kostum adiwira ini merupakan salah satu strategi terbaik dan unik untuk menarik minat pelanggan membeli produk mereka.
"Pada saya strategi ini unik kerana tidak ramai mahu melakukannya dan majoriti pelanggan akan mendekati kami apabila ternampak Spiderman dan rakan-rakan adiwira lain.
"Ada juga pelanggan tetap kami yang akan datang membeli kerana suka dengan minuman yang kami jual,” katanya.