PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak bimbang walaupun beberapa tonggak pasukan kebangsaan seperti Mohamadou Sumareh, Safawi Rasid dan Muhammad Syafiq Ahmad tidak diberikan minit bermain selain kurang menyerlah bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Menurut Cheng Hoe, beliau tetap positif untuk melihat impak yang akan dipamerkan ketiga-tiga pemain utama itu menjelang kempen kelayakan menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.
"Pada pendapat saya ia sesuatu yang biasa dalam Liga-M apabila jaringan dikuasai oleh penyerang import. Saya tahu pemain terutama penyerang tidak dapat minit bermain dan kurang beraksi dalam liga.
"Tetapi, sebagai jurulatih saya kena positif. Saya juga selalu ingatkan pemain supaya mereka buat latihan tambahan di kelab masing-masing untuk memastikan mereka bersedia apabila dipanggil ke skuad kebangsaan," katanya.
Prestasi semasa ketiga-tiga pemain itu ketika ini menjadi persoalan selepas sudah lama tidak diturunkan bersama JDT dengan Safawi sedang berada dalam fasa pemulihan selepas kecederaan manakala Sumareh dan Syafiq sedang bergelut untuk mencuri tempat dalam skuad bimbingan Benjamin Mora itu.
Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan adakah ketiga-tiga pemain tersebut dapat bersedia sepenuhnya dalam menggalas cabaran negara menjelang aksi kelayakan itu.
Untuk rekod, Sumareh ketika ini menjadi penjaring terbanyak untuk skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan tersebut dengan tiga gol, manakala Safawi dan Safiq masing-masing telah menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan yang telah diharungi pasukan kebangsaan.
Cheng Hoe dijangka terus mempertaruhkan kelibat ketiga-tiga pemain tersebut, namun dalam masa sama tidak menolak kemungkinan untuk mencari pilihan lain sekiranya mereka tidak bersedia untuk beraksi.
"Sudah tentu saya kena hormati jurulatih kelab masing-masing kerana mereka juga ada perancangan dan KPi sendiri. Sebab itu saya sentiasa positif dengan pemain yang hadir ke pasukan kebangsaan.
"Dalam masa sama, saya juga yakin pemain dah tahu tugas mereka dan perlu bersedia sebelum dipanggil. Namun, apa jua sekali pun, saya tidak boleh bagi alasan apabila pemain itu kurang menyerlah kerana tidak dapat peluang bermain di kelab masing-masing.
"Sebab itu, saya lebih suka cari pilihan lain dan bersedia dengan beberapa perancangan dalam usaha memastikan kita mampu memberikan yang terbaik dalam kempen kelayakan itu," katanya.