Yang memegang hati manusia itu ALLAH, kata Pas

Iklan
Kamaruzaman Mohamad

SHAH ALAM - Pas masih menaruh harapan supaya UMNO akan berubah pendirian berhubung kerjasama parti Melayu terbesar itu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Yang memegang hati manusia itu ALLAH, jadi saya optimis masih ada ruang. Apa yang penting, ia haruslah yang terbaik untuk ummah dan negara," kata Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Iklan
Iklan

Kamaruzaman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad yang meminta Pas supaya bersikap lebih memahami keputusan UMNO untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Ia susulan daripada kenyataan Pas baru-baru ini yang mengatakan bahawa parti itu bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan pertelingkahan antara UMNO dan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan

Menurut Ahmad Zahid, ketetapan yang telah dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) itu tidak boleh ditukar dengan semudahnya kerana ia bukanlah keputusan peribadi tetapi sebaliknya dilakukan hasil daripada undian kesemua perwakilan UMNO.

Ahmad Zahid Hamidi

Jelas Ahmad Zahid, Pas seharusnya lebih rasional dalam membuat pilihan berhubung dengan kerjasama politik yang mahu dilakukan, sementara Pas juga perlu faham bahawa kerjasama Muafakat Nasional (MN) sudah dibentuk ketika orang Melayu dan Islam diinjak-injak semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata, segenap asas kerjasama antara ketiga-tiga parti politik itu demi manfaat ummah dan negara juga dilihat masih belum ternoktah.

"Selagi belum kiamat, masih boleh diusahakan. Memang ramai kata UMNO yang dah tak sudi, namun dalam politik segalanya mungkin," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam PAU 2020 yang berlangsung pada bulan lalu, UMNO telah memuktamadkan keputusan parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.