Nikmat dan dugaan bulan Ramadan

Iklan

HARI ini, genap dua minggu umat Islam di kebanyakan negara berpuasa dan mengharungi bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Syukur kerana kita masih berpeluang merasai kemeriahan dan kemanisan Ramadan yang pastinya dirindui, lebih-lebih lagi dengan solat tarawih, moreh dan bazar Ramadan yang cukup sinonim dengan rakyat di negara ini.

Iklan
Iklan

Bagi penulis sendiri, mengharungi Ramadan di tempat orang buat pertama kali semenjak bekerja pastinya satu pengalaman baharu dan berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jika dahulu, berbuka puasa dengan keluarga pada hari pertama Ramadan adalah satu kemestian, namun kali ini bersama rakan-rakan.

Iklan

Sepanjang Ramadan kali ini, saya berpeluang ke beberapa bazar Ramadan di sekitar Johor Bahru, yang mana kemeriahannya tidak kurang hebatnya berbanding di kampung saya di Terengganu.

Namun berbeza kali ini, tiada lagi kuih nekbat yang cukup popular di Terengganu, begitu juga kuih kegemaran seperti qasidah dan sekaya.

Iklan

Walaupun begitu, saya agak teruja melihat beberapa juadah yang tidak pernah saya lihat sebelum ini seperti nasi ambeng, burasak, lepat loi dan lepat kacang yang pastinya menjadi pengalaman baharu buat saya.

Apa yang pasti, kemeriahan Ramadan itu tidak berkurang walaupun di mana kita berada, malah peluang berpuasa di tempat orang adalah satu rezeki dan nikmat yang berharga dari Ilahi.

Dugaan Ramadan

Berbeza pula dengan rakan seagama kita di negara jiran iaitu di Indonesia, Ramadan kali ini pastinya cukup hiba bagi kebanyakan mereka dengan tragedi yang menimpa kapal selam KRI Nanggala 402 milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).

KRI Nanggala 402 yang hilang kira-kira jam 10.37 pagi di perairan Bali pada Rabu lalu, dikatakan membuat selaman bagi mengikuti latihan penembakan torpedo di perairan Bali Utara.

Pada Ahad, Panglima Angkatan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto mengesahkan semua 53 kru kapal selam KRI Nanggala-402 terkorban.

Ia selepas beberapa bahagian kapal selam itu ditemui hasil penelitian dasar laut. Lokasi kapal telah dikenal pasti.

Badan kapal selam tersebut telah pecah menjadi tiga bahagian"Seramai 53 personnel yang onboard KRI Nanggala-402 telah gugur, berdasarkan bukti-bukti ‘authentic’ itu, dapat dinyatakan bahwa KRI Nanggala 402 telah tenggelam,” kata Hadi dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.

Menurutnya, berdasarkan visual dari ‘Remotely Operated Underwater Vehicle’ yang digunakan dalam pencarian kapal itu, telah terakam keadaan kapal berkenaan yang telah ‘terbelah menjadi tiga bahagian’ di kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali.

KRI Nanggala 402 seberat 1,300 tan jenis 209 diesel elektrik adalah kapal selam penyerang yang dibina pada 1978 dan diserahkan kepada Indonesia pada Oktober 1981.

Aset itu pernah dibaik pulih pada 1989 di Jerman dan kemudian pada 2012 di Korea Selatan dengan strukturnya diganti serta sistem penggerak, sonar dan senjata dinaik taraf.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo serta seluruh rakyat negara itu susulan tragedi menimpa kapal selam itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah dan berkata, Malaysia turut berdukacita di atas tragedi yang mengejutkan dan menyayat hati itu.

Saya sebelum ini berasa sayu apabila melihat satu klip video yang viral menunjukkan seorang anak mengunci bapanya di bilik agar tidak pergi bertugas di KRI Nanggala 402.

Anak kecil itu seolah-olah sudah mengetahui berlaku kehilangan.Tentu anak kecil itu sedang ternanti-nanti kepulangan bapanya untuk berhari raya tetapi bapanya telah pergi takkan kembali.

Takziah diucapkan kepada semua ahli keluarga anggota TNI-AL. Apa yang kita harapkan ialah kesemua jasad kru kapal selam itu dapat ditemui dan disemadikan dengan sempurna.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian