KUALA KUBU BHARU - Seorang warga emas mengalirkan air mata kerana terharu menerima sumbangan daripada Asdy Global Ventures dan HeadShot Gadjet pada ziarah Secebis Bantuan, Sebesar Harapan di Felda Soeharto sini pada Sabtu.
Penerima sumbangan, Ramlah Ahmad, 80, yang telah kematian suami bergantung kepada bantuan keluarga dan jiran tetangga kerana terlantar sakit sejak beberapa tahun lalu.
"Terima kasih di atas keprihatinan dan sumbangan yang diberikan,” katanya dengan nada terharu.
Ramlah merupakan salah seorang daripada enam penerima sumbangan berupa pek makanan pada program yang turut disokong Kaereste, F&N Beverages dan Sinar Harian.Ketua Pegawai Eksekutif Asdy Global Ventures, Khairul Aswhat Tajul Amar berkata, rezeki yang diperoleh daripada perniagaan dikongsi bersama dan membantu golongan yang memerlukan.
"Mungkin sumbangan ini tidak seberapa tapi mampu menggembirakan hati orang lain. Itu sudah boleh membuat kita juga berasa gembira.
"Kami di Asdy Global Ventures hanya berkongsi rezeki dengan masyarakat,” katanya.
Ziarah turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif HeadShot Gadjet, Naz Zaid; Pengurus Felda Soeharto, Mohd Qasidinoor Asri; Ketua Pegawai Eksekutif Kaereste, Muhamad Hafiz Feroz dan Ketua Kampung Felda Soeharto, Hanippudin Saman.
Sebanyak 1,000 mangkuk bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong oleh Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) Felda Soeharto turut diedarkan kepada penduduk.
Sementara itu, Mohd Qasidinoor merakamkan penghargaan atas inisiatif Asdy Global Ventures dan HeadShot Gadjet dalam menganjurkan ziarah Secebis Bantuan, Sebesar Harapan khusus menyantuni warga emas dan OKU di Felda tersebut.
"Penglibatan syarikat-syarikat korporat melalui program seperti ini amat dinanti-nantikan oleh warga Felda dan memberikan keceriaan kepada penerima terbabit ketika menyambut lebaran,” katanya.