PASUKAN Tuneboss-Pink Racing akan meneruskan sesi latihan pasukan walaupun terdapat desas-desus Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan ketiga pada 22 hingga 23 Mei ini terjejas sekiranya kes Covid-19 terus menunjukkan peningkatan.
Menurut pemiliknya, Atikah Azwar biarpun agak sedih jika perkara berkenaan berlaku dan menjejaskan kejuaraan berkenaan, ia dilihat penting bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia bagi mengharungi kejuaraan kali ini.
Katanya, selain meneruskan sesi latihan pasukan, pihaknya juga akan terus melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha memastikan persiapan pasukan berkenaan berjalan lancar.
"Sekiranya kejuaraan Cub Prix ini terjejas memang kami rasa agak sedih tetapi kami melihat ia sebagai ruang untuk kami menjadi lebih bersedia untuk perlumbaan akan datang.
"Apa pun kami tidak meletakkan sebarang jangkaan terhadap perkara ini, cuma yang pasti, kami tetap akur sebarang arahan kerajaan.
"Lagi pun, ia penting untuk kita bersama membantu kerajaan bagi mengekang penularan kes Covid-19 ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Atikah berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang bimbang Kejuaraan Cub Prix Malaysia pusingan ketiga yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 23 Mei depan bakal terjejas sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.
Sementara itu menurut Atikah, di sepanjang Ramadan kali ini, pasukan Tuneboss-Pink Racing tetap meneruskan latihan seperti biasa, sebagai persiapan apabila Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersambung semula.
"Sepanjang Ramadan, kita tetap teruskan sesi latihan dan juga proses R&D kita seperti biasa untuk persediaan.
"Lagi pun bagi dua pusingan pertama lalu, kita berada pada posisi keempat dan kalau ikutkan kepada kelompok, kita berada dalam kelompok yang mengejar kejuaraan,” katanya.