FAREHA Holdings yang sebelum ini fokus kepada jualan tudung melebarkan sayap perniagaannya dengan membuka cawangan Kedai Emas Fareha yang pertama di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, di sini pada Sabtu.
Pengarahnya, Nurul Fareha Anuar yang terkenal dengan perniagaan tudungnya mahu mencuba dalam bidang baharu selepas melihat ada peluang dalam perniagaan emas yang mendapat permintaan tinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara.
Menurutnya, idea untuk membuka kedai emas tersebut timbul pada Oktober tahun lalu kerana dia ingin mengembangkan perniagaan sedia ada kepada pasaran baharu.
"Pada asalnya suami saya, Muhamad Yusri Muhamad Yusoff kurang setuju untuk menceburi perniagaan emas kerana modal yang diperlukan agak besar.
"Namun keinginan untuk mencabar diri berniaga sesuatu yang baharu itu tinggi kerana tidak rugi kalau kita cuba,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nurul Fareha yang sudah bertapak dalam dunia perniagaan selama lima tahun berkata, pemilihan lokasi kedai emas di sini dibuat setelah mendapati tiada kedai emas dibuka di kawasan tersebut.
Katanya, pemilihan lokasi yang strategik membolehkan perniagaannya lebih fokus kepada kawasan sekitarnya dan pihaknya tidak perlu bersaing dengan kedai emas lain yang berada jauh dari kawasan tersebut.
"Kami memilih untuk buka di sini kerana tiada kedai emas lain, jadi kurang persaingan dan penduduk sekitar akan lebih menumpukan perhatian mereka pada kedai kami.
"Lokasi kedai ini juga di lot tepi, jadi ia lebih mudah dilihat oleh orang yang melalui kawasan ini,” katanya.
Berkenaan model bisnes yang digunakan untuk kedai emas tersebut Nurul Fareha berkata, dia ingin memberi fokus kepada kedai fizikal berbanding jualan secara dalam talian untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan terlebih dahulu.
Selain itu, dia juga menggunakan strategi pemasaran yang mantap khususnya hebahan melalui platform media sosial dan melantik ejen ‘dropship’ yang berminat menjual barangan mereka.
"Jualan secara dalam talian akan bermula selepas raya. Untuk ejen jualan, saya akan membuka ruang sebanyak 250 orang ejen yang sedia ada untuk menjual barang kemas.
"Tiada modal yang perlu dibayar dan ejen tidak perlu menyimpan stok, hanya ambil pesanan kerana kita tidak mahu ejen mengalami kerugian jika barangan tersebut tidak terjual,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nurul Fareha juga bercita-cita tinggi dalam perniagaan baharu itu dengan menetapkan sasaran hasil jualan bulanan sebanyak RM1 juta.
Ujarnya, jika perniagaannya mula stabil, dia merancang membuka beberapa cawangan lain di kawasan Lembah Klang seperti Bangi dan Setia Alam.
"Saya nak perniagaan emas ini berdiri setanding dengan perniagaan sedia ada saya atau lebih lagi dan mampu bertahan untuk jangka masa panjang,” katanya.