PASIR GUDANG - Usaha memulihara Sungai Buluh dalam Kawasan Industri Pasir Gudang yang kini dikategorikan sebagai sungai paling tercemar di negara ini perlu segera dilakukan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, perancangan jangka panjang dan pendek dalam memulihara sungai tersebut harus dirangka.
Jelasnya, ini kerana sungai itu sudah berada pada tahap kritikal dan gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak yang berkaitan.
"Sungai Buluh yang mengalir di tengah-tengah kawasan industri disifatkan sebagai 'sungai mati'. Airnya berwarna hitam pekat dengan bau busuk dan meloyakan.
"Itu belum lagi dibuat kajian tentang keadaan airnya. Usaha menghidupkan Sungai Buluh perlu dilakukan dalam mencapai pembangunan yang mapan dan lestari," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Hassan Karim dan Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Pasir Gudang di Taman Siera Perdana di sini pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Menurut Laporan Kualiti Alam Sekitar (EQR) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini, Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu di sini berada dalam kategori kelas lima atau sungai mati, selain
Sungai Buluh turut disenaraikan sebagai sungai paling tercemar di Johor serta salah satu daripada lima sungai yang paling tercemar di Malaysia.
Hassan berkata, pencemaran di sungai tersebut telah berlaku sejak 1970-an akibat aktiviti industri di kawasan sekitarnya dan sudah banyak dilaporkan namun sehingga kini keadaannya masih sama.
Beliau meminta pihak industri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah Johor Bahru dan Exco Kerajaan Johor supaya mengambil tindakan bersepadu bagai menyelamatkan sungai itu.
Katanya, selain pihak terbabit, masyarakat juga perlu bertanggungjawab menjaga sungai itu dengan tidak membuang sampah sarap ke sungai dan sekiranya dipulihkan berpotensi dijadikan kawasan rekreasi.