Dua bot nelayan asing menyamar bot tempatan ditahan

Iklan
Dua bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam yang menyamar sebagai bot tempatan ditahan di perairan negeri ini pagi Ahad.- Foto ihsan APMM Terengganu

KUALA TERENGGANU - Dua bot nelayan asing dipercayai dari Vietnam yang menyamar sebagai bot tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran meragukan ditahan di perairan negeri ini pagi Ahad.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya menahan kedua-dua bot itu di kedudukan 35 dan 36 batu nautika Timur Laut di perairan Kuala Terengganu, di sini oleh KM Nusa dalam Ops Iman.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya mengesyaki dua bot nelayan tersebut yang menyerupai bot tempatan kelas C2 di lokasi terbabit ada melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen.

"Selepas pemeriksaan oleh pasukan geledah mendapati bot pertama yang bentuk fizikalnya menyerupai bot nelayan Vietnam, dikendalikan empat kru termasuk tekong manakala bot kedua pula dikendalikan sembilan kru termasuk tekong. Siasatan seterusnya mendapati kesemua 13 kru di kedua-dua bot ini merupakan warga Vietnam tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Nama-nama mereka tiada dalam senarai buku lesen kedua-dua bot tersebut dan kesemua 13 kru termasuk tekong pekerja asing tanpa permit sebelum ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan pada Isnin.

Muhammad Suffi berkata, siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada pengenalan diri yang sah, serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji warga asing bekerja tanpa permit yang sah.

Iklan

Katanya, Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu yang beroperasi 24 jam sedia menerima sebarang aduan ataupun laporan mengenai kejadian di laut.

"Sehubungan itu, kami mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk menyalurkan sebarang laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim melalui talian 09-6224537 dan MERS 999," jelasnya.