Insiden bot terbalik: Belum ada petunjuk mangsa ketiga

Iklan
Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (kiri) menunjukkan peta lokasi pencarian mangsa ketiga.

KOTA BHARU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Carilamat mangsa ketiga insiden bot terbalik di Kuala Besar, Badang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan pada Isnin masih belum menemukan sebarang petunjuk.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pencarian mencari mangsa, Zulshahmi Danial Zulazman, 26 diperluas ke kawasan 78.96 batu nautika persegi.

Iklan
Iklan

"Operasi dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan bermula jam 7 pagi dengan mengatur gerak Kapal Maritim (KM) Amanah sebagai On Scene Coordinator (OSC) dan bot PSC 35 milik Pasukan Polis Marin (PPM) ke sektor pencarian.

"Lokasi terlibat di kawasan seluas 78.96 batu nautika persegi dan menjadikan jumlah luas keseluruhan pencarian sehingga hari ini adalah 154.41 batu nautika persegi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Peta lokasi pencarian mangsa ketiga, Zulshahmi Danial Zulazman, 26 diperluas ke kawasan 78.96 batu nautika persegi.

Iklan

Beliau berkata, usaha berjalan dalam keadaan cuaca baik dengan kelajuan angin sekitar 10 – 20 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 0.5 – 1.0 meter.

"Pasukan SAR fokus mencari mangsa ketiga yang dikatakan kali terakhir memakai baju berwarna kelabu, seluar pendek hitam dan dikatakan juga tidak memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

Iklan

"Agensi yang turut serta dalam pencarian kali ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian melaporkan bot dinaiki tiga pencandat sotong terbalik dipukul ribut di Kuala Besar, Badang dan dua daripada mereka iaitu Mat Awang, 54 dan Mat Harun Mohd Nor, 55 ditemui selamat oleh bot nelayan dan dibawa ke Jeti Pantai Sabak keesokan harinya.

Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan dilaporkan stabil namun ditahan di wad untuk rawatan susulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua mangsa bot terbalik ditemui