Sajat mungkin berada di luar negara: PDRM

Iklan
Sajat

SHAH ALAM - Polis percaya kemungkinan besar usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat yang diburu pihak berkuasa berada di luar negara.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani tidak mendedahkan lokasi negara itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima mendapati Nur Sajat tidak lagi berada di dalam negara ini.

Iklan
Iklan

"Itu kemungkinan yang kuat mengatakan sedemikian.

"Bagaimana dia berada di sana Wallahualam. Mungkin dia menggunakan kaedah tertentu yang memungkinkan dia boleh berada di luar negara. Apa sekali pun, kita tidak akan putus asa untuk mengesannya," katanya selepas sidang akhbar kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya akan terus membantu mahkamah syariah untuk mengesan Sajat.

"Kita akan bantu mengikut kemampuan kita kerana kes kerana kes berkenaan merupakan kes mahkamah syariah dan kita percaya kita telah berusaha dan kalau subjek ini berada dalam negara kita Insya-ALLAH kita akan dapat jejak dan kesan.

"Sementara waktu ini kita perlu bersabar dahulu," katanya.

Beliau berkata selepas sidang akhbar kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Iklan

Mengulas dakwaan Nur Sajat berada di Johor, Acryl Sani menjelaskan, pihaknya menerima pelbagai maklumat berhubung lokasi individu terbabit.

"Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan. Jadi maklumat itu kita ambil tindakan dengan elemen kita di setiap tempat dan jika betul akan dapat dikesan.

Iklan

"Tapi apa yang berlaku dia tiada di sana," katanya.

Justeru, pihaknya tidak akan berputus asa, apa juga maklumat dan petunjuk yang diperoleh akan diteliti untuk tindakan susulan.

Pada 23 Februari lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab dan difahamkan Nur Sajat bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah.