KUALA TERENGGANU - Terengganu optimis mampu mengembalikan kunjungan 6.5 juta pelancong dalam tempoh tiga tahun lagi apabila rentas negeri dibenarkan dan negara beransur pulih daripada ancaman pandemik Covid-19.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman berkata, jangkaan itu berdasarkan prestasi memberangsangkan kunjungan pelancong ke negeri ini menerusi data kadar purata penginapan pelancongan yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) pada 2020.
Berdasarkan data berkenaan, Terengganu telah melonjak ke tangga ke-4 keseluruhan kadar purata penginapan pelancong pada 2020 jika dibandingkan kedudukan ke-11 pada 2019.
"Statistik kehadiran pengunjung domestik dan antarabangsa ke Terengganu pada 2019 seramai 5.2 juta namun tiada jumlah spesifik kunjungan pelancong yang direkodkan pada 2020 selepas pandemik melanda negara.
"Bagi bulan Jun hingga September 2020 sahaja, Terengganu berada pada tangga ke-3 terbaik keseluruhan serta pernah berada di tangga ke-2 keseluruhan bagi bulan Julai pada tahun yang sama,” katanya.
Jelas Ariffin, negeri yang kaya dengan pelbagai produk pelancongan itu sentiasa bersedia menerima kehadiran pelancong dengan penekanan amalan prosedur operasi standard (SOP) terhadap penggiat sektor pelancongan dan pengunjung.
"Saya yakin, ramai yang tidak puas untuk terus meneroka keunikan yang ada di negeri ini malah ada yang berkali-kali datang ke Terengganu tidak jemu menyaksikan keunikan di sini.
"Kita menaruh harapan supaya kerajaan pusat membenarkan rentas negeri bagi membantu memulihkan sektor pelancongan yang terjejas teruk namun dalam masa yang sama kita akur bahawa larangan itu masih dikuatkuasakan,” katanya.
Mengulas mengenai impak Covid-19 terhadap sektor pelancongan, Ariffin mengakui Terengganu juga melalui tempoh suram sejak ia menular pada Mac 2020, namun katanya, kerajaan negeri melakukan persediaan awal melalui Pelan Rangsangan Pelancongan Terengganu 2019-2023.
Jelasnya, Pelan Rangsangan Pelancongan itu merangkumi tiga fasa iaitu Menangani Impak Covid-19 Terhadap Sektor Pelancongan, Melestarikan Pelancongan Negeri Terengganu dan Pertumbuhan Sektor Pelancongan Negeri Terengganu.
"Kerajaan negeri prihatin dengan nasib pemain industri kerana sumber pendapatan terjejas. Bagi meringankan bebanan yang ditanggung, kerajaan menyediakan insentif khas melalui Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu Berkat (Sektor Pelancongan) melibatkan beberapa kumpulan yang terjejas.
"Agihan bantuan bagi fasa pertama dilakukan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kini kerajaan memberi fokus terhadap kumpulan sasar terjejas iaitu sebanyak RM150,200 peruntukan disalurkan kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), pengusaha bot penambang, pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi, penarik beca, pemandu bot dan pengusaha rumah bot dan malim gunung.
"Selain itu, kerajaan negeri meluluskan bantuan tambahan sebanyak RM90,000 untuk disalurkan kepada semua pemandu teksi di seluruh negeri yang terjejas,” katanya.
Sementara itu, Ariffin berkata, Terengganu kini turut memberi tumpuan terhadap produk Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di peringkat kampung dan daerah di seluruh negeri.
Katanya, pihaknya menyasarkan 40 lokasi pelancongan komuniti yang akan diterokai dan dinaiktaraf bagi menarik kunjungan pelancong dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ujarnya lagi, kerajaan negeri komited membangunkan produk pelancongan yang menjadi menjadi sub kluster kepada pelancongan di negeri ini.
"Antara kawasan yang telah dikenalpasti dan diterokai sendiri oleh komuniti setempat seperti di Pengkalan Warisan, Banggol Chempedak dan Pengkalan Setar.
"Kita juga menerima banyak permohonan daripada komuniti setempat untuk menjadikan kawasan tarikan pelancongan di kampung mereka sebagai lokasi pelancongan CBT bermula dari Besut hingga ke Kemaman,” katanya.
Dalam pada itu, Ariffin menyifatkan kejayaan bangunan ikonik jambatan angkat (drawbridge) meraih Ikon Pelancongan Baharu Terbaik Malaysia (Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020) ITB Berlin pada 2020 sebagai kejayaan berprestij yang pernah diraih Terengganu.
"Kita akui, jambatan angkat merupakan antara destinasi wajib yang menjadi tumpuan pelancong malah sehingga kini ia merekodkan kunjungan lebih 200,000 pelancong sejak ia dibuka pada Ogos 2019.
"Jumlah itu melibatkan pelancong yang mengunjungi bahagian menaranya sahaja, tidak meliputi kawasan sekitarnya,” katanya.
Jelas Ariffin, selain kejayaan diraih jambatan angkat, Terengganu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi The Largest Multilingual Dikir Barat Performance Himpunan Pendikir Muda Terengganu 2020, Anugerah Ikon Pelancongan Baharu Terbaik Anugerah Emas Pelancongan Malaysia 2019 dan Program Pelancongan Paling Popular dan Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2019 bagi aktiviti mencandat sotong.