SHAH ALAM - Kerajaan diminta segera untuk menghentikan penggunaan akta-akta lapuk bagi menekan suara kritikan dan pendapat yang berbeza, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sikap dan perilaku menyekat kebebasan tersebut adalah cubaan terdesak untuk menghentikan kritikan dan terus berpaut pada kuasa mereka.
Katanya, di bawah kerajaan kini, rekod hak asasi manusia dan kebebasan media telah merudum parah.
"Sikap dan perilaku pemerintah dalam menginjak kebebasan yang dijamin Perlembagaan adalah cubaan yang jelas terdesak untuk membungkam kritikan dan terus berpaut pada kuasa.
"Kerajaan mesti segera menghentikan penggunaan akta-akta lapuk untuk menekan suara-suara kritikan dan pendapat yang berbeza.
"Memetik filasuf dan pemikir Renaisans Voltaire, saya mungkin menentang dan tidak bersetuju dengan idea anda yang berbeza dari saya, tetapi saya bersedia mempertahankan hak anda untuk meluahkannya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Jumaat, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan Fahmi Reza atau nama sebenarnya Fahmi Reza Mohd Zarin ditahan di sebuah lokasi di ibu negara oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman.
Penahanan ke atas suspek dibuat susulan satu laporan polis yang diterima berkaitan satu hantaran menggunakan akaun Facebook Fahmi Reza yang didapati menghina Raja Permaisuri Agong.
Anwar berkata, kerajaan seharusnya mendengar luahan dan bekerja untuk rakyat namun bukan untuk diri mereka semata-mata.