SHAH ALAM - Golongan pelampau politik kini muncul di Malaysia apabila kerakusan yang dilakukan pentaksub tersebut adalah lebih teruk jika dibandingkan dengan pelampau agama sehingga melupakan nyawa rakyat demi mencapai agenda mereka.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kumpulan itu muncul bagi menentang perintah darurat yang dilakukan akibat penularan pandemik Covid-19 dengan alasan yang bersifat politik.
"Mereka langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang dengan mengambil langkah berpolitik sepanjang masa. Mereka tidak mempedulikan terhadap bahaya wabak yang mengorbankan nyawa di seluruh dunia.
"Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam berpolitik.
"Walaupun faktor ekonomi dan keselamatan juga dijadikan alasan, tetapi perkara ini hanyalah sekadar batu pelindung nafsu politik mereka yang sudah melampau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perangai pelampau politik tersebut tidak dapat ditinggalkan akibat daripada kehilangan kuasa setelah berebut antara satu sama lain dalam kumpulannya.
Katanya, mereka sanggup merancang langkah politik lain bagi mendapatkan semula kuasa dengan cara yang benar dan juga salah.
"Kita tidak seharusnya mencontohi negara barat yang berlagak atas nama kebebasan dan hak asasi manusia, sehingga tidak berdisiplin dalam menangani bahaya wabak yang lebih dahsyat daripada peperangan, kononnya atas nama kebebasan.
"Jika yang menebuk kapal itu ialah manusia, maka ia wajib dicegah. Sebaliknya jika yang menebuk kapal itu ialah spesies jerung, maka ia perlu dihapuskan sahaja demi menyelamatkan semua.
"Inilah lagak pelampau politik yang tergila-gilakan untuk berkuasa, yang akhirnya pada kemudian hari mereka akan menyesal disebabkan menyalahgunakan kuasa,” ujarnya.