SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berpandangan bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mengambil langkah bijaksana dan cermat tanpa mewujudkan polemik baharu.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ini adalah masa terbaik untuk berfikir dan mencari jalan memperbetulkan kekusutan.
"Imej dan persepsi rakyat terhadap parti perlu segera diperbaiki dan solidariti perlu dibina kembali,” katanya dalam siaran di Facebook miliknya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika UMNO mendapatkan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pemilihan parti seperti yang diputuskan.
"Ini meletakkan UMNO dalam kesiapsiagaan dan pematuhan secara menyeluruh. RoS juga tidak perlu menunggu surat rasmi kerana keratan akhbar rasmi oleh Setiausaha Agong (SUA) UMNO adalah jelas.
"RoS perlu memberi arahan secara bertulis minggu ini. Mengenai prosedur operasi standard (SOP) mesyuarat dan garis panduan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Annuar berkata, pucuk pimpinan parti-parti politik Melayu Islam dan bumiputera wajar mengadakan pertemuan serta muzakarah bagi memantapkan muafakat, membentuk kestabilan politik dan memulihkan ekonomi.
"Pemimpin Islam harus mempamerkan daya kepimpinan yang tinggi lagi di hormati. Hanya muafakat yang akan mengembalikan kekuatan dan perpecahan hanya menggembirakan musuh politik.
"Pandang ke hadapan dan letakkan kepentingan ummah di hadapan,” jelasnya.