JOHOR BAHRU - Seorang penuntut sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Facebook di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Isnin.
Tertuduh, Ahmad Muazz Ishak, 22, yang juga penuntut tahun dua di sebuah universiti awam di ibu negara membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah memuat naik satu status di akaun Facebook yang tertera perkataan menghina kerabat diraja Johor itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Jalan Pontian-Skudai, Johor Bahru pada 5 Februari lalu, jam 11.45 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mahkamah menetapkan 23 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Mahkamah turut membenarkan penuntut berkenaan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri dua minggu sekali di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya Muhammad Qayyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Valantino Ifni Ho Ridzuan.