PUTRAJAYA - Umat Islam diseru agar mengadakan solat jenazah ghaib susulan tragedi kapal selam karam, KRI Nanggala 402 yang mengorbankan 53 anak kapal.
Ketua Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria Othman berkata, ia sebagai tanda keprihatinan rakyat Malaysia terhadap rakan serantau, Indonesia yang ditimpa musibah.
Iklan
Iklan
"Solat jenazah ghaib boleh dilakukan secara individu ataupun berjemaah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Jakim melalui tiga buah masjid utama yang berada di bawah pentadbirannya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat jenazah ghaib pada malam Selasa sejurus solat Isyak.
"Jakim turut memohon kerjasama dan jasa baik pihak jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri untuk turut menganjurkan solat jenazah ghaib di semua masjid dan surau di negeri masing-masing," katanya.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan jam 4.25 pagi pada Rabu lalu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam.
Misi evakuasi sedang giat dilakukan bagi membawa jenazah kru kapal selam itu ke Surabaya, Jawa Timur.