ALOR SETAR - Pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam negara masih rendah dan belum mencapai sasaran apabila hanya 38 peratus daripada populasi rakyat di negara ini mendaftar.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya bagaimanapun menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 50 peratus dalam tempoh dua bulan ini.
Menurutnya, masih banyak usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk negara mencapai sasaran ditetapkan, iaitu melebihi 80 peratus.
"Saya andaikan ramai mengambil sikap tunggu dan lihat, sebenarnya pelaksanaan fasa dua ini penting kerana ia membabitkan warga emas.
"Setelah diberikan vaksin, mereka tidak mengalami alahan atau kesan sampingan, dan ini akan bina keyakinan orang ramai untuk terima vaksin,” katanya selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti pada Isnin.
Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap semua pihak di pelbagai peringkat memperhebatkan kempen Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) demi keselamatan bersama.
"Kita akan giatkan pendaftaran secara bersemuka dan manual dengan menggunakan jentera kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah serta jawatankuasa kampung,” katanya.
Mengulas mengenai peratus pendaftaran yang rendah di Kedah sekitar 32 peratus, membabitkan 517,100 daripada jumlah populasi berusia 18 tahun ke atas, pihaknya berharap kerajaan negeri berusaha meningkatkan jumlah pendaftaran.
"Sebanyak 33 peratus warga emas sudah daftar di Kedah, iaitu 91,491 daripada keseluruhan 272,444 orang. Paling ramai di daerah Sik sebanyak 55 peratus, paling rendah di Langkawi (17 peratus).
Difahamkan, peratusan tinggi di Sik adalah atas kerjasama sukarelawan daripada PBT dan pusat khidmat wakil rakyat yang menggerakkan jentera ke masjid, rumah ke rumah dan tempat awam,” katanya.
Khairy Jamaluddin turut mengumumkan tujuh lagi PPV akan dibuka di Kedah bermula 3 Mei depan, iaitu di Dewan Sri Mas, Polimas Jitra; Kompleks Sukan Komuniti di Serdang; Dewan Chenderawasih di Pendang; Dewan Al-Hana di Sik; Dewan Serbaguna Guar Chempedak; Dewan Tunku Putra di Kuala Nerang serta Dewan Badminton Kompleks Lada di Langkawi.
"Buat masa ini terdapat lima PPV beroperasi di Kedah, iaitu Stadium Sultan Abdul Halim, Dewan Kenangan MPSP Kuala Muda; Dewan Bandaran Kulim; Dewan Tunku Anum Kubang Pasu dan Dewan Kenangan Tun Abdul Razak Baling.
"Selain itu empat buah hospital adalah pusat pemberian PPV khas bagi golongan alahan teruk, mengalami masalah sistem imum serta pendarahan melilbatkan Hospital Sultanah Bahiyah (Alor Setar), Hospital Sultan Abdul Halim (Sungai Petani), Hospital Kulim serta Hospital Sultanah Malihah (Langkawi),” katanya.