Malaysia berkongsi kesedihan, rasai kehilangan: Ismail Sabri

Iklan
Ismail Sabri

KUALA LUMPUR - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta seluruh warga kementerian itu mengucapkan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan rakyat negara itu susulan tragedi kapal selam KRI Nanggala 402.

Beliau berkata, Malaysia turut berkongsi kesedihan dan merasai kehilangan atas tragedi yang mengorbankan 53 anak kapal itu.

Iklan
Iklan

"Sesungguhnya 53 anak kapal yang terkorban merupakan perwira bangsa serta patriot terbaik demi menjaga kedaulatan negara Indonesia.

"Semoga ALLAH SWT melindungi dan mengurniakan kesabaran dalam menghadapi ujian ini. Kami mendoakan semoga roh 53 anak kapal KRI Nanggala 402 dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lepas ketika misi latihan penembakan torpedo di utara perairan Bali, yang turut disertai 21 kapal Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI), lima pesawat tempur dan sebuah kapal selam lain.

Malaysia turut menghantar kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti yang tiba di Perairan Bali pada 25 April lepas bagi membantu operasi pencarian kapal selam TNI itu.

Iklan

Pada Ahad, Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala 402 terkorban dan berdasarkan visual daripada 'Remotely Operated Underwater Vehicle' terakam keadaan kapal berkenaan yang 'terbelah menjadi tiga bahagian' di kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali. - Bernama