PUTRAJAYA - Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin enggan memberi sebarang komen berkaitan kes melibatkan seorang guru Pendidikan Jasmani yang didakwa bergurau keterlaluan kerana sudah dalam siasatan polis.
Beliau bagaimanapun berkata, perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
"Kita memantau, apabila sudah jadi kes polis kita tidak mahu sentuh hal itu. Secara umumnya kita siasat dan perkara itu tidak patut berlaku.
"Semua pihak tidak bersetuju kejadian berkenaan sekiranya benar apatah lagi sebuah kementerian yang menjaga adab dan integriti anak-anak kita,” katanya pada sidang akhbar berkenaan isu semasa pengoperasian sekolah di kementeriannya pada Isnin.
Seorang guru Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.
Pelajar tersebut juga dilaporkan telah membuat laporan polis berkenaan kejadian berkenaan.
Sementara itu, mengulas mengenai sekolah didakwa melakukan ‘pemeriksaan datang bulan’ terhadap pelajar perempuan ketika Ramadan, Mohd Radzi meminta menamakan sekolah terbabit.
"Jika saya tanya anda balik tentang pemeriksaan datang bulan itu, cuba bagi tahu saya di mana berlaku?
"Boleh anda bagi tahu saya sekolah mana pemeriksaan ini? Orang boleh bercakap tetapi beritahu kami maklumat terperinci,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya ada pihak memberitahunya kejadian berkenaan berlaku di sekolah mana, pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.
"Kami semak satu-satu semua bahagian ada berlaku? Tak ada. Jadi, saya nak respon kepada apa?
"Sedangkan saya tak dapat dekat mana berlaku. Kalau berlaku bawah kami, baru kami akan keluarkan penjelasan,” katanya.