KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menetapkan 30 Jun depan untuk mendengar permohonan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari sebagai ahli Parlimen kawasan itu.
Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin semasa dihubungi berkata, pada hari yang sama juga Hakim Datuk Akhtar Tahir akan mendengar permohonan pengundi itu untuk membatalkan beberapa perenggan pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.
Menurut Nizamuddin, perenggan berkenaan berkaitan alasan Mohamed Azmin meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kedua-dua pihak perlu memfailkan afidavit balasan mereka berhubung dua permohonan itu pada 30 April, manakala pendengaran kes pada 30 Jun akan dijalankan secara dalam talian,” katanya selepas pengurusan kes yang dibuat secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Maslinda Selamat pada Isnin.
Pada 12 Mac lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah serta bertentangan atau ultra vires dengan Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan itu dibuat atas alasan tuntutan saman berkenaan bertujuan melanggar hak asasi defendan iaitu kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.
Kesemua 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak itu telah memfailkan saman tersebut pada 27 November lepas terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lepas.
Pernyataan tuntutan mereka menyebut kesemua plaintif berusia lingkungan 36 dan 64 tahun memohon antara lain pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.
Pengundi itu mendakwa dengan memungkiri representasi berkenaan, defendan telah melanggar hak perlembagaan, terutamanya prinsip demokrasi berparlimen dan demokrasi perwakilan yang membentuk sebahagian struktur asas perlembagaan.
Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa defendan telah melanggar kewajipan fidusiarinya dan tugas-tugas yang terhutang kepada plaintif selain melakukan penipuan terhadap mereka serta menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - Bernama