PETALING JAYA - Sheng Tai International Sdn. Bhd. bakal menjadi satu-satunya syarikat pemaju di Malaysia yang membangunkan sebuah hab fesyen bertaraf antarabangsa yang terletak di Melaka.
Menerusi kerjasama dengan platform penyiaran dari Paris, FashionTV, Sheng Tai International dijangka mampu menarik masuk lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia.
Pengerusi Sheng Tai International, Datuk Leong Sir Ley berkata, hab fesyen tersebut akan diperkukuhkan menerusi pembinaan The Sail Melaka dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6.5 bilion.
"Kami menandatangani kerjasama dengan FashionTV Paris untuk memupuk budaya Islam dan menjenamakan Melaka seperti Milan yang merupakan sebuah hab fesyen antarabangsa.
"Melaka mempunyai budaya dan tarikan tetapi kurang dari segi pembangunan industri fesyen. Kami mahu menjadikan negeri itu sebuah hab fesyen di The Sail dan telah mulakan usaha tersebut di Metrasquare sebelum The Sail lengkap dibina.
"Kira-kira 30 hingga 40 pereka fesyen terkenal akan hadir ke Melaka, seterusnya mewujudkan pekerjaan buat peragawan dan peragawati,” katanya dalam taklimat media berhubung kerjasama Sheng Tai International dan FashionTV di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengurus Besar Sheng Tai International, Nicholas SC Leong; pereka fesyen merangkap Rakan Kongsi FashionTV, Bill Keith; bekas peragawati serta rakan kongsi FashionTV, Betty Anne Brohier; Pengurus Pemasaran Sheng Tai International, Khoo Ming Wae; dan Pengurus FashionTV, Emerson Chang Kiat Heng.
The Sail Melaka yang kini dalam pembinaan fasa pertama bakal menyaksikan pembangunan sembilan menara yang terdiri daripada hotel bertaraf lima hingga enam bintang, pusat beli-belah, kediaman, pejabat serta akademi fesyen oleh Sheng Tai International dan FashionTV.
Ini sekaligus akan menjadi bangunan tertinggi di Melaka dan dijangka selesai dibina pada tahun 2024.
Sebelum ini, pelancaran akademi permodelan Sheng Tai International dengan kerjasama FashionTV telah dimeterai menerusi perjanjian perlesenan antara Sir Ley dan Pengarah platform penyiaran itu, Alona Fischbein.
Kata Sir Ley, kerjasama itu diyakini dapat menyuntik lebih banyak pengaruh dan mencetuskan inspirasi kepada usahawan dan pelabur untuk menyertai rangkaian yang berkembang pesat berkenaan.
Sementara itu, Leong berkata, Sheng Tai International berhasrat untuk membangunkan sebuah ekosistem yang dapat menarik lebih banyak pelabur asing dari masa ke masa.
"Kami menumpukan kepada pelabur asing, malah jumlah pelanggan kami ketika ini, 98 peratus daripadanya merupakan pelabur asing di mana 60 peratus dari Hong Kong, 20 peratus hingga 30 peratus dari Jepun dan seluruh dunia.
"Sebagai syarikat pemaju, kami mahu membina sebuah ekosistem untuk pelabur dengan campuran pelbagai industri antaranya dari fesyen, kesejahteraan dan sebagainya. Banyak lagi perancangan yang akan menyusul,” katanya.