ALOR SETAR - Lawak rogol ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas oleh seorang guru lelaki di Selangor dianggap tidak profesional selain memalukan institusi perguruan di negara ini.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dakwaan pelajar mengenai perkara itu tidak boleh dianggap terpencil dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas ke atas guru terbabit jika terbukti perkara itu berlaku.
Menurutnya, sebagai seorang bekas pengetua dan bekas Menteri Pendidikan, beliau melihat kejadian tersebut seharusnya tidak berlaku di pusat pengajian seperti sekolah.
"Perkara itu memalukan institusi perguruan di negara ini. Dalam apa jua situasi sekalipun, perkara itu tidak seharusnya dijadikan bahan untuk berlawak.
"Rogol itu satu perbuatan jenayah yang sama sekali tidak wajar dipromosikan lebih-lebih lagi oleh seorang bernama guru," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menegaskan, jenayah rogol sepatutnya digunakan oleh seorang guru untuk mendidik pelajar menjauhi perbuatan itu dan bukan dijadikan bahan satira atau jenaka.
ARTIKEL BERKAITAN: Gurau isu rogol: Polis siasat dua laporan dibuat pelajar
Menurutnya, beliau menggesa KPM segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan yang ditetapkan.
"Bagi saya, ini juga berkaitan dengan akhlak seorang guru. Kita bukan mahu mengambil pendekatan menghukum akhlak keseluruhan guru di Malaysia.
"Ia membabitkan kesedaran mengenai batasan percakapan perlu supaya emosi pelajar tidak terganggu dengan akhlak dan perlakuan guru mereka. Ini bagi saya amat penting untuk kita faham," ujarnya.
Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.
Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol itu ketika membincangkan mengenai gangguan seksual dalam kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya.
Pelajar berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter.