ALOR SETAR - Galeri pameran interaktif robotik terbesar di Wilayah Utara, Cybernetics bakal menjadi tarikan terbaru di Kedah.
Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, galeri seluas 500 meter persegi di Pusat Sains Negara (PSN) cawangan Wilayah Utara itu siap dibangunkan pada November 2020.
Menurutnya, ia meliputi enam kluster, iaitu Muslim Automation Heritage, Robot Anatomy, Machines in Action, Beat The Machines, Smart Industry dan Persekitaran Interaktif.
"Galeri ini mempunyai 19 bahan pameran interaktif, 32 unit robot dan tiga unit e-games yang boleh dilawati dan diterokai pengunjung dari empat negeri di Wilayah Utara iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis," katanya ketika melawat galeri berkenaan pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Ts Dr Siti Hamisah Tapsir dan Pengarah PSN, Mismah Jimbun.
Mengulas lanjut, Mismah berkata, pembangunan galeri itu mengambil masa selama lapan bulan dengan mengambil kira peranan dan teknologi robotik dalam kehidupan harian.
"PSN berharap galeri Cybernetics ini dapat mencetus daya kreativiti pengunjung dan minat pelajar dalam bidang robotik.
Ia turut mempamerkan pelbagai bahan pameran meliputi perkembangan awal teknologi robotik hingga ke perkembangan semasa revolusi industri 4.0,” katanya.
Menurutnya, Cybernetics turut menawarkan aktiviti pendidikan berkonsepkan robotik iaitu pengaturcaraan untuk pelbagai peringkat umur dari prasekolah hingga ke peringkat sekolah menengah.
"Pembukaan galeri ini sempena operasi semula PSN Wilayah Utara yang ditutup sebelum ini akibat pandemik Covid -19.
Kami menyasarkan seramai 120,000 pengunjung tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19," katanya.