Dilema peralatan perang lama Indonesia

Iklan
Kapal selam KRI Nanggala-402 yang disahkan tenggelam di perairan Bali pada Ahad lalu mula digunakan oleh Tentera Laut Indonesia pada Oktober 1981. - Foto AFP

INSIDEN kapal selam KRI Nanggala-402 milik Tentera Laut Indonesia yang disahkan tenggelam dan terbelah kepada tiga bahagian di dalam laut di luar pantai Bali pada Ahad lalu mencetuskan perdebatan tentang penggunaan peralatan pertahanan yang lama oleh pasukan keselamatan negara itu.

Persoalan itu ditimbulkan selepas kapal selam tersebut yang menggunakan kuasa diesel-elektrik dan membawa 53 kru hilang dan gagal dihubungi selepas membuat selaman terakhir pada awal pagi pada Rabu lalu dalam satu latihan torpedo.

Iklan
Iklan

Menurut portal berita Makkasarterkini.com, KRI Nanggala-402 buatan Jerman Barat yang kini dikenali sebagai Jerman dipesan pemerintah Indonesia pada tahun 1978 dan mula akftif digunakan sejak Oktober 1981.

Ia yang dibuat oleh syarikat Howalt Deutsche Werke (HDW) di Kiel, Jerman Barat akan memasuki 40 tahun perkhidmatan dengan tentera negara itu pada Oktober tahun ini dan mempunyai berat 1,395 tan, panjang 59.5 meter, lebar 6.3 meter, mempunyai kelajuan 11.5 knot hingga 21.5 knot.

Iklan

Pada awalnya, ia boleh membawa 34 kru serta dilengkapi 14 buah peluru torpedo jenis SUT.

Dalam insiden itu, 53 kru yang menaikinya diisytiharkan terkorban selepas kenderaan operasi terpencil atau remote operation vehicle (ROV) milik kapal Singapura, MV Swift Rescue diturunkan pada kedalaman 830 meter pada Ahad lalu di sekitar kawasan tempat kapal selam tersebut hilang.

Iklan

Kenderaan ROV itu merakamkan gambar-gambar kapal selam itu yang terbelah tiga selepas beberapa serpihan kapal selama itu antaranya serpihan torpedo, sebotol minyak pelincir dan sejadah ditemui pada Sabtu lalu.

Justeru, seorang pengasas bersama Persatuan Menyelamat dan Operasi Berteknologi (ROOTS), Riefqi Muna dilaporkan berkata, Indonesia perlu lebih berhati-hati dalam mengggunakan peralatan pertahanan yang sudah tua ekoran kejadian tragis kapal selam itu.

Beliau memberitahu portal berita BBC bahawa, dalam tempoh 10 tahun terakhir ini, beberapa askar meninggal dunia akibat penggunaan peralatan pertahanan yang sudah tua dan satu panduan keselamatan ketat perlu diwujudkan ketika menggunakannya.

Insiden itu merupakan kejadian pertama berlaku dalam sejarah penggunaan kapal selama tentera negara tersebut yang bermula sejak hujung tahun 1950an lagi.

Beberapa jam selepas tenggelam di dasar laut, tumpahan minyak ditemui di lokasi ia dipercayai berada di luar pantai Bali.

Menurut portal-portal berita Indonesia, tumpahan minyak itu kemungkinan menunjukkan tangki minyak kapal selam itu rosak disebabkan tekanan air laut.

Pada 14 Julai tahun lalu, sebuah kapal perang Indonesia iaitu Teluk Jakarta 541 buatan tahun 1979 di Jerman Timur yang kini dikenali sebagai Jerman dan boleh membawa muatan kereta kebal telah karam di perairan Masalembo, Jawa Timur.

Bagaimanapun, kesemua 55 askar yang menaiki kapal tersebut selamat dan menurut Ketua Penerangan Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Pertama M Zaenal ketika itu, kapal tersebut mengalami kebocoran yang menyebabkannya karam.

Gambar fail menunjukkan pasukan mencari dan penyelamat berada di lokasi kejadian pesawat tentera Hercules C-130 yang dibina pada tahun 1960an terhempas di Medan pada 30 Jun 2015. - Foto AFP

Pada 19 Disember 2016, sebuah pesawat Hercules Bell C-130 HS milik TNI dari Timika, Papua ke Wamena juga di Papua terhempas di Gunung Pugima, Jayawiyaja menyebabkan 12 kru dan seorang penumpang maut.

Dalam kejadian itu, pesawat lama tersebut yang dibeli dari Australia ekoran harganya murah dan pernah digunakan oleh tentera Australia sejak tahun 1978 terhempas disebabkan oleh masalah cuaca.

Menurut AFP, pada 30 Julai 2015, pesawat Hercules C-130 yang membawa logistik dari Medan ke Kepulauan Natuna terhempas menyebabkan 113 anak kapal termasuk askar terbunuh.

Ketua Staf Tentera Udara Indonesia, Marshal Agus Supritna dilaporkan berkata, ia terhempas ekoran satu enjinnya tidak berfungsi.

Pesawat buatan tahun 1960an itu juga diperoleh dari tentera udara Australia.

Dalam pada itu, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto berkata pada Khamis lalu, bahawa kerajaan akan melakukan pelaburan lebih besar dalam bidang pertahanan dan mengakui harga peralatan pertahanan sangat mahal.

"Peralatan pertahanan di bidang pertahanan memang cukup mahal kerana itu kepimpinan negara selalu berhadapan dengan dilema harus mengutamakan pembangunan kesejahteraan tetapi menjaga kemampuan pertahanan supaya kedaulatan kita tidak diganggu," katanya seperti dipetik dari portal berita Merdeka.com di Pengkalan Ops Lanud Ngurah Bai, Bali.

Bagaimanapun, ekoran sebuah kapal selam KRI Nanggala-402 disahkan terbelah tiga di dasar laut di luar pantai Bali, Indonesia kini hanya mempunyai empat buah kapal selam yang masih beroperasi di negara tersebut.

Salah sebuahnya ialah kapal selam KRI Cakra-401 buatan Jerman Barat pada tahun 1970an. - Agensi