PUTRAJAYA - Setiap kompaun yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) perlu dilaksana mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataannya berkata, kerajaan telah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah Akta 342 untuk dijadikan panduan kepada pihak penguatkuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksima RM10,000," katanya pada Selasa.
Menurutnya, pesalah pula diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari.
"Pengurangan akan diberikan sehingga 25 peratus sekiranya ia dibayar dalam tempoh 14 hari," katanya.
Beliau berkata, segala tindakan mengenakan kompaun di bawah Akta 342 adalah bertujuan untuk pencegahan dan memberi pengajaran.
"Ini bagi memastikan semua pihak termasuk peniaga bersama-sama bertanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 yang masih kritikal di dalam komuniti," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000
Terdahulu tular di laman sosial peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 selepas didapati berniaga lebih masa pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Jalan Panji, Kota Bharu, Kelantan.
Ia sekaligus mengundang pelbagai reaksi dan kecaman rakyat terhadap pihak berkuasa.
Kelantan diletakkan di bawah pelaksanaan PKP selepas kadar kebolehjangkitan (R-naught) negeri itu berada pada 1.35 tinggi di seluruh negara berbanding Rt Malaysia, 1.13.