KUALA LUMPUR - EB Frozen Food Sdn Bhd menghargai peranan frontliners dan berharap lebih banyak sumbangan dapat diberikan kepada mereka melalui saluran Singgah Sinar Iftar 1-Meter.
Eksekutif Pemasaran EB Frozen Food, Long Tian Hong berkata, peluang menyertai program bersama Sinar Harian adalah peluang berharga bagi syarikat pengeluar makanan sejuk beku itu.
Menurutnya, program yang diadakan di KL Sentral bagi meraikan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Isnin adalah penglibatan kali kedua syarikat itu selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19.
"Selepas program pertama berjaya, pihak majikan sungguh gembira dan menghargai peluang menyertai program ini.
"Kami berharap dapat memberikan lebih banyak sumbangan kepada frontliners dan ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas yang berkorban memerangi Covid-19. Tanpa mereka, pandemik Covid-19 mungkin lebih teruk," katanya selepas hadir Singgah Sinar Iftar 1-Meter di KTM Komuter KL Sentral pada Isnin.
Menerusi penyerahan itu, sebanyak 40 pek makanan berbuka puasa dan beg barangan produk EB Frozen disumbangkan kepada kakitangan KTMB.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.
Tian Hong berkata, program menyantuni petugas barisan hadapan itu adalah satu pendekatan yang baik dan boleh menjadi ikutan syarikat lain yang ingin melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Kami harap lebih banyak syarikat mengambil bahagian dalam program ini dan kami akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Sinar Harian bagi menjayakannya," katanya.
Sementara itu Pengurus Kanan Komunikasi Strategik, Shahril Sahar berkata, pihaknya menghargai kunjungan Sinar Harian bersama EB Frozen Food dalam menjayakan program Singgah Sinar Iftar 1-Meter.
"Hubungan KTMB dan Sinar Harian bukanlah sesuatu yang asing dan hubungan ini telah terjalin sejak 2015 cuma tahun lepas terhenti seketika disebabkan Covid-19.
"Harap pada tahun ini kita boleh aktif semula dengan program-program yang akan dirangka nanti," katanya.