Covid-19: Perancis tawar bantuan peralatan oksigen kepada India

Iklan
Beberapa hospital di seluruh India melaporkan kekurangan oksigen.

PARIS - Perancis akan menghantar beberapa unit penjana oksigen sebagai bantuan perubatan untuk membantu India dalam memerangi lonjakan gelombang kedua Covid-19, umum Kementerian Luar pada Isnin.

"Operasi solidariti khas" dilakukan sebagai tindak balas terhadap keperluan yang dinyatakan oleh pihak berkuasa India dan atas permintaan Presiden Emmanuel Macron, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

Iklan
Iklan

Bantuan itu juga merupakan sebahagian daripada Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (UCPM) yang diaktifkan oleh Suruhanjaya Eropah untuk Pengurusan Krisis pada 25 April lepas dan diberi semasa India dilaporkan menghadapi krisis oksigen yang mendesak di kemudahan kesihatan.

Beberapa hospital di seluruh India melaporkan kekurangan oksigen dan meminta bantuan kecemasan kerana varian virus baharu telah melanda negara itu dengan mencatatkan rekod dalam peningkatan kes harian Covid-19.

Iklan

Lapan unit penjana oksigen perubatan, masing-masing dengan kapasiti untuk membekalkan oksigen secara berterusan ke 250 katil, akan diangkut pada hujung minggu ini. Ia akan dipasang secara kekal dan mampu menghasilkan oksigen perubatan menggunakan udara biasa dan boleh digunakan selama 10 tahun. Penyediaan peralatan untuk mengisi silinder oksigen juga akan disertakan.

Selain itu, sekurang-kurangnya lima bekas oksigen cair, masing-masing dapat menampung sehingga 10,000 pesakit dalam sehari, serta peralatan khusus 28 alat bantuan pernafasan dan 200 pam picagari elektrik turut disumbangkan.

Iklan

Bahan itu untuk bertindak balas terhadap keadaan kecemasan dan juga untuk memperkukuh kemampuan hospital-hospital India dalam merawat pesakit dan melawan pandemik secara berterusan, kata kenyataan itu.

"Perancis dan India sering bersolidariti dalam masa-masa sukar. Perpaduan ini adalah asas dalam kerjasama strategik kami dan persahabatan antara rakyat Perancis dan India,” tambahnya. - Bernama