SHAH ALAM - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpeluang mengerjakan ibadah umrah pada Selasa dan berdoa di Bukit Marwah.
Kata Azmin, beliau mengerjakan ibadah tersebut sebelum meneruskan misi ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
"Saya memulakan misi pelaburan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan solat Isyak dan Tarawih di Masjidil Haram serta mengerjakan ibadah umrah.
"Sebelum bertahallul saya berdoa di Bukit Marwah, mengambil berkat dari kisah Siti Hajar berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mencari air untuk Nabi Ismail yang kedahagaan,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
Mohamed Azmin akan mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Arab Saudi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai 26 April hingga 4 Mei 2021.
Dalam satu kenyataan, MITI memaklumkan misi tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempromosikan peluang perniagaan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan rantau Asia Barat.
Misi tersebut diharapkan dapat mengekalkan momentum hubungan ekonomi antara Malaysia dan kedua-dua negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dan rakan perdagangan dengan meningkatkan keyakinan komuniti perniagaan di kedua-dua negara itu.