GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya dihempap sebatang pokok angsana berusia hampir satu abad yang tumbang selepas hujan lebat di Jalan Perak di sini pada pagi Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Yong Geeng Huei, 53, maut di tempat kejadian selepas terperangkap dalam kereta jenis Proton Wira.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang memandu berseorangan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kedai membaiki kenderaan berhampiran lokasi kejadian.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’azelan Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira satu kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.38 pagi, namun mengambil masa tiga minit untuk tiba ke lokasi kejadian kerana lalu lintas yang sesak.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, anggota bomba bertugas mendapati sebatang pokok besar berdiameter dua meter telah tumbang melintangi jalan raya dan menghempap sebuah kereta.
"Anggota yang lengkap berpakaian peralatan perlindungan diri (PPE) melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan 'rescue tools'.
"Kita juga mendapat bantuan sebuah kren dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi kerja-kerja pengalihan pokok tersebut. Mangsa berjaya dibawa keluar kira-kira jam 11.04 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 11.16 pagi," katanya.
Sementara itu, peniaga berhampiran lokasi kejadian berkata, pokok angsana itu ditanam di lokasi terbabit sekitar tahun 2017 hingga 2018.