SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur cara penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila melibatkan rakyat marhaen yang berbeza berbanding golongan kelas atasan.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan tidak bercakap banyak dan terus memberikan kompaun tetapi apabila melibatkan 'golongan kayangan' atau artis berkahwin, pelbagai alasan diberikan.
"Antaranya kompaun masih belum dapat dikenakan, kertas siasatan sedang disiapkan, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan sebagainya.
"Hakikatnya, kita melihat golongan kayangan dan artis secara jelas melakukan pelanggaran SOP tetapi tindakan amat lambat. Apabila dikatakan 'double standard' kerajaan pula marah rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merujuk kepada laporan media mengenai peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan dikompaun RM50,000 pada jam 11.20 malam kelmarin.
Kompaun berkenaan dikenakan kerana peniaga terbabit didakwa beroperasi melebihi jam 10 malam ketika Kelantan berada dalam tempoh perlaksanaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga burger terkilan dikompaun RM50,000
Ahmad Zahid turut mempersoalkan adakah burger yang dijual peniaga terbabit berharga RM300 sebiji sehingga menyebabkan anak muda itu dikompaun dengan sebegitu banyak.
"Berdasarkan pengakuan peniaga, Wan Mohd Faisal, dia sekadar beroperasi di hadapan rumah dan ketika itu tiada seorang pun pelanggan. Peniaga hanya menyiapkan pesanan burger yang akan dihantar ke kilang berdekatan.
"Peniaga akui memang benar dia belum menutup kedai tetapi meja tidak dibuka untuk kehadiran pelanggan. Dia hanya berseorangan,” kata Ahmad Zahid yang amat simpati dan kecewa atas kejadian tersebut.
Ahmad Zahid juga terfikir bagaimana peniaga terbabit mahu membayar kompaun tersebut sedangkan berniaga burger itu sahaja pekerjaan yang dilakukan olehnya.
"Kenapa pihak berkuasa sekejam itu? Lagipun dalam situasi PKP di Kelantan apa lagi pekerjaan lain yang boleh dilakukan ditambah pula tempoh masa yang terhad.
"Betul. Kes melibatkan peniaga ini adalah kes berulang dan dia pernah dikompaun RM1,000 atas kesalahan sama ketika PKP sebelum ini. Tetapi untuk kesalahan seterusnya adakah wajar kompaun RM50,000 dikenakan ke atas rakyat biasa?
"Ukurlah kemampuannya,” katanya lagi.
Berhubung perkembangan sama, Ahmad Zahid mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Kelantan yang tampil menawarkan bantuan guaman untuk membantu Wan Mohd Faisal bagi rayuan pengurangan kompaun dikenakan.