KLANG - Bekalan bahan mentah terutama ayam dan daging bagi negeri Selangor dijangka mencukupi ketika sambutan Aidilfitri ini.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, masyarakat tidak perlu khuatir mengenai kekurangan barangan tersebut.
"Jangan sesekali lakukan pembelian panik, beli seperti biasa," katanya ketika melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Pasar Besar Meru di sini pada Selasa.
Mengulas mengenai tinjauan yang dijalankan itu katanya, rata-rata peniaga mematuhi kadar harga yang ditetapkan.
"Ini sikap terbaik yang ditunjukkan oleh peniaga sekali gus ia membantu pengguna terutamanya golongan kurang berkemampuan membeli barangan dengan harga berpatutan," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan agar barangan yang dijual tidak melampaui harga ditetapkan.
"Harga maksimum ini diletakkan supaya ia tidak dijual dengan harga yang mahal sekali gus membebankan pengguna. Kalau peniaga dapat jual murah dari harga yang ditetapkan itu sudah bagus," katanya.
Sebelum ini, KPDNHEP mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.