KUALA TERENGGANU- Komuniti Kampung Cina diminta untuk memberikan perhatian terhadap aspek pencegahan dan keselamatan kebakaran memandangkan bangunan di kawasan itu dikategorikan dalam ‘prewar building’.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, menjadi tanggungjawab penduduk di kawasan itu untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatan di premis dan kediaman masing-masing, agar sebarang perkara yang tidak diingini dapat dielakkan.
Selain itu, mereka juga perlu bersedia sekiranya berlaku kebakaran, supaya kesannya dapat dikurangkan.
"Di pihak kerajaan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kita sentiasa berusaha untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan asas berhubung aspek keselamatan kebakaran melalui kempen-kempen yang dibuat.
"Kita harapkan dengan adanya pendedahan tentang langkah-langkah perlindungan dan pencegahan kebakaran ini, ia akan memberikan pengetahuan asas kepada masyarakat dalam teknik-teknik pencegahan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Tahun Baru Cina 2019 di Kampung Cina, yang turut dihadapi Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor.
Pada majlis itu juga, beliau turut mengagihkan alat pemadam kebakaran dan alat pengesan asap di premis-premis di kawasan berkenaan.