Amalkan kebebasan bersuara secara beretika, matang

Iklan
Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA - Kebebasan bersuara secara beretika dan matang perlu diamalkan demi kepentingan serta kemaslahatan ummah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

"Matlamat komunikasi ummah ini bermaksud menggunakan kebijaksanaan dalam tatacara berkomunikasi untuk memberi pengajaran yang baik, menegur dan mengkritik dengan berhemah serta beradab walaupun berbeza pendapat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan
Iklan

Saifuddin berkata, kebebasan bersuara merupakan prinsip asas yang penting dalam masyarakat dan amalan demokrasi di negara ini dan kerajaan dengan jelas menegakkan hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, dakwaan kerajaan mengekang pengkritik daripada bersuara adalah tidak benar sama sekali kerana terdapat kritikan dalam pelbagai bentuk seperti karya satira dan penulisan yang berunsur kritikan terhadap kerajaan, namun tidak diambil tindakan selama ini.

Iklan

Malah, katanya kritikan sedemikian turut dilaporkan oleh media secara amnya dan dikongsikan dalam media sosial tanpa halangan daripada kerajaan.

"Kerajaan juga menerima kritikan secara terbuka dan mengambil berat akan kritikan yang menjurus ke arah kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Iklan

Namun, kata menteri itu, kebebasan bersuara sama sekali bukan bererti membenarkan pandangan atau hujah berunsur hasutan yang sengaja mencetuskan kekecohan dan penghinaan, apatah lagi menghina Institusi Raja seperti dalam dakwaan beberapa kes baru-baru ini.

"Kita harus dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Kita juga tidak boleh mengetepikan tanggungjawab sosial kita dalam masyarakat.

"Etika dan kematangan dalam mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan oleh kita semua agar bersesuaian demi kepentingan serta kemaslahatan ummah," katanya.

Saifuddin turut menyeru semua pihak mendokong prinsip penyatuan dan saling menghormati demi mengekalkan keharmonian serta suasana muhibbah dalam masyarakat. - Bernama