KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan kekal dengan pendirian bahawa setiap parti mempunyai pandangan dan keutamaan tersendiri dalam berpolitik.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dalam masa sama mengingatkan supaya semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh memecahbelahkan kerjasama.
Iklan
Iklan
"Dalam politik ada perbezaan pendapat dan perbezaan keutamaan. Bagi saya itu biasa dalam politik tetapi kami berada di dalam kerajaan yang sama, Persekutuan dan Negeri. Jadi bagi saya, fokusnya ialah bagaimana untuk bekerjasama dan meningkatkan sinergi.
"Jangan keluarkan kenyataan yang akan memecahbelahkan. Itu saya punya pendirian," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi STAR Berhad pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan STAR dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika ini.
Sebelum ini, PBS mengeluarkan kenyataan sedang bersiap siaga untuk merebut semula kerusi tradisional PBS iaitu Parlimen Keningau yang disandang Jeffrey ketika ini.