KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran hari ini mengesyorkan bilangan keanggotaan Dewan Negara dari lantikan negeri ditambah menjadi tiga orang bagi tujuan reformasi institusi itu.
Beliau berkata pada masa ini bilangan lantikan negeri anggota dewan negara adalah dua orang dan jumlah itu perlu dilihat semula bagi membawa suara negeri di peringkat nasional.
Iklan
Iklan
"Seperti mana Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz pernah sebut, cadangan penambahan bilangan ahli dari negeri ini sejajar hasrat asal pembentukan Dewan Negara yang antara lain bertujuan menjaga kepentingan negeri yang membentuk Persekutuan.
"Jadi sidang meja bulat ini disyor membincangkan soal meningkatkan bilangan keanggotaan Dewan Negara secara serius kerana sejak 1959, keahlian senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong telah bertambah dari 16 orang sehingga 44 anggota kini namun tiada perubahan dalam lantikan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian Sidang Meja Bulat Reformasi Dewan Negara di Bangunan Parlimen, hari ini yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.- Bernama