Khemah dalam kebun kelapa sawit jadi lokasi sembunyi dadah

Iklan
Sebuah khemah dalam kebun kelapa sawit di di Kampung Padang Setar, Kuala Berang, Hulu Terengganu dijadikan lokasi persembunyian dadah. Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud

HULU TERENGGANU - Taktik licik tiga lelaki menjadikan sebuah khemah di dalam kebun kelapa sawit sebagai lokasi persembunyian dadah terbongkar setelah diserbu sepasukan polis dalam operasi di Kampung Padang Setar, Kuala Berang, di sini pada Isnin.

Tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun itu ditahan dalam Ops Jihad Dadah diketuai Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail bersama anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu sekitar jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg berzip warna hitam di atas lantai dalam khemah terbabit menemui dadah jenis heroin seberat 15.38 gram dan lapan biji pil kuda seberat 1.02 gram membabitkan nilai keseluruhan RM1,880.

Katanya, barangan tersebut dirampas pihak polis manakala kesemua suspek dibawa ke IPD Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Iklan

"Lokasi ketiga-tiga suspek ditangkap adalah tempat persembunyian dan tempat tidur mereka pada waktu malam.

"Hasil risikan awal mendapati ketiga-tiga suspek adalah penagih tegar dadah jenis heroin dan pil kuda di mana suspek pertama adalah tokan kepada penagih-penagih di sekitar kawasan kampung berhampiran.

Iklan

"Suspek biasanya akan keluar dari tempat tidur dan masuk ke kawasan di sekitar Kampung Padang Setar, Kuala Berang pada sebelah siang," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Mohd Adli berkata, suspek pertama kes itu berusia 35 tahun mempunyai lima rekod lampau jenayah dadah manakala suspek kedua dan ketiga berusia 39 dan 38 tahun dipercayai menjadi budak suruhan serta mempunyai dua dan tiga kes lampau dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis heroin dan methamphetamie.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 26 April hingga 2 Mei depan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB)," katanya.