KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura memperkukuhkan komitmen dua hala dalam kerjasama pertahanan di bawah Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan pada Selasa, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawat dari Singapura, Dr Ng Eng Hen turut membincangkan perkara-perkara berkaitan persekitaran keselamatan serantau, termasuk Laut China Selatan semasa persidangan video mereka yang diadakan pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Ismail Sabri menekankan terdapat keperluan mengelak konflik ketenteraan dan kawalan sendiri di Laut China Selatan untuk memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini.
"Dalam menangani ancaman keamanan yang sama, kedua-dua menteri itu juga menekankan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam keselamatan siber dan perkongsian maklumat antara kedua-dua angkatan tentera," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua menteri itu juga menantikan Malaysia menjadi hos kepada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan FPDA ke-11 (FDMM) yang serentak dengan ulang tahun ke-50 FPDA.
Mereka juga mengakui pentingnya penglibatan aktif yang berterusan melalui latihan seperti BERSAMA LIMA 21 dan SUMAN WARRIOR 21. - Bernama