MBS pantau peniaga asing di bazar Aidilfitri

Iklan
Datuk Zazali (dua dari kanan) menyerahkan bahan edaran Covid-19 dan Vaksinasi kepada Ahli Majlis MBS pada Selasa.

SEREMBAN - Penganjur mahupun peniaga dinasihatkan supaya tidak menyewakan tapak niaga kepada warga asing.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Zazali Salehudin berkata, penguat kuasa MBS akan sentiasa membuat pemantauan di semua bazar bagi memastikan tiada peniaga luar yang berniaga terutamanya di bazar Aidilfitri.

Iklan
Iklan

"Pemantauan kita sangat teliti, kita sudah belajar daripada tahun-tahun lalu, orang luar (warga asing) kita tidak benarkan berniaga.

"Kalau ada kita akan bagi kompaun, penguat kuasa kita juga ada menjalankan tugas dan memantau di semua kawasan bagi memastikan tiada peniaga asing yang berniaga," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Pengedaran Bahan Mengenai Covid-19 dan Vaksinasi kepada Ahli Majlis MBS serta Ketua-Ketua Jabatan, di Wisma MBS dekat sini pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha MBS, Mas Midyawan Yahya.

Iklan

Sementara itu, Zazali memaklumkan seramai 20 peniaga bazar Ramadan di sekitar Nilai yang sebelum ini berniaga secara haram, diberi kelulusan untuk berniaga.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan, pihaknya mendapati mereka yang berniaga secara haram di tapak bazar tersebut terdiri daripada mereka yang hilang pekerjaan.

"Kita faham mereka hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan, jadi mereka memilih untuk cuba berniaga, namun cara mereka itu tidak betul kerana kita ada peraturan yang perlu dipatuhi.

"Kita dapat aduan daripada peniaga yang berniaga di bazar itu, mereka tidak berpuas hati kerana mereka perlu bayar tapak, tetapi peniaga ini tidak bayar, jadi berlaku salah faham di situ, namun kini semuanya sudah berjaya diselesaikan," katanya.

Dalam pada itu, Zazali memberitahu setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan mengenai kes 'Ali Baba' melibatkan orang tengah.

Katanya, penganjur harus memain peranan dan memastikan kepada siapa mereka berikan tapak tersebut, memandangkan semua bazar pada tahun ini diuruskan oleh penganjur, bukan lagi pihak berkuasa tempatan (PBT).