SHAH ALAM - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih teguh berdiri walaupun pelbagai 'bunyi' kedengaran termasuk tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan tumbang bila-bila masa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Syith berkata, keadaan itu jelas dapat dilihat berdasarkan fakta semasa, malah PN turut diyakini kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Berdasarkan fakta yang terlihat, jelas menunjukkan kerajaan berdiri dan terus kukuh sebelum PRU15 yang akan diumumkan nanti.
"Saya melihat masih ada ruang untuk perkara baik dan penambahbaikan bagi mempersembahkan PN sebagai pilihan gabungan terbaik kepada rakyat dan pengundi keseluruhannya terutama orang Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-251 bertajuk ‘Kemelut Parti Melayu: Siapa Jadi Orang Tengah' yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Wacana itu turut menampilkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Penerangan Pas, Kamaruzzaman Mohamad selaku panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan bila PRU15 akan diadakan, Eddin yang juga merupakan Pengerusi Gabungan PN Negeri Sembilan berkata, perkara itu tidak boleh diberikan jawapan.
Katanya, ini kerana pilihan raya umum adalah perkara yang penting dan hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.