Tahanan Kemboja: Ada perkara tak boleh didedahkan

Iklan
Fatimah Abdullah - Foto theborneopost.com

KUCHING - Berhubung dakwaan kemungkinan kes penipuan 47 warga Malaysia yang ditangkap dan ditahan di Kemboja didalangi rakyat tempatan, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ada perkara yang pihaknya tahu, tetapi tidak boleh dedahkan kepada umum.

"Biarkan pihak berkuasa yang menguruskan isu terbabit. Setiap 47 mangsa berkenaan mempunyai kisah mereka yang tersendiri,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas melawat Muzium Ranee, di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Semalam, Fatimah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan menaiki pesawat sewa khas JC International Airlines, dari Siem Reap, Kemboja, bersama 40 lagi bekas tahanan dari Sarawak menegaskan misi mereka ialah untuk membawa mangsa pulang dan tugasnya sudah selesai dan kini terpulang kepada agensi lain untuk meneruskan apa yang perlu dilakukan.

Fatimah bersama Ahli Parlimen Santubong yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah wakil delegasi kerajaan Sarawak yang dihantar ke Kemboja bagi membuat rundingan pembebasan kesemua tahanan itu.

Iklan

47 rakyat Malaysia terbabit ditangkap pada 11 Disember lalu kerana disyaki terbabit dalam pengendalian judi haram di negara berkenaan dan ditahan di penjara Poi Pet, Kemboja sebelum dibebaskan semalam.

Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan selepas beberapa rundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Iklan

Sementara itu, Fatimah juga menasihati kepada semua mangsa dari Sarawak yang terlibat itu untuk mendapatkan latihan kemahiran di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) sekiranya sukar untuk mendapatkan pekerjaan di sini.

"Latihan kemahiran di sini (Centexs) tidak melihat dari segi kelayakan apa yang seseorang itu miliki. Apa yang penting ialah mereka hanya perlu pandai membaca dan menulis.

"Seterusnya mereka hanya perlu memohon kursus yang bersesuaian dengan minat mereka. Selepas menjalani latihan, sudah pasti mereka mampu untuk mencari kerja dengan kebolehan dan kemahiran yang mereka miliki,” katanya.- Bernama