Bukti jenayah aparteid

Iklan
Penduduk Palestin berkumpul berhampiran gerbang Damsyik di Baitulmaqdis pada malam Isnin selepas pertempuran kembali tercetus di kota lama terbabit. - Foto: AFP

NEW YORK - Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) pada Selasa mendakwa Israel melakukan jenayah aparteid dengan cara cuba mengekalkan ‘penguasaan’ Yahudi ke atas penduduk Palestin dan populasi Arab.

Laporan setebal 213 muka surat itu juga mendapati rejim Tel Aviv adalah pihak yang mempunyai kuasa tunggal dengan kawalan utama ke atas Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.

Iklan
Iklan

"Ia menggunakan dasar pemerintah sewenang-wenangnya untuk ‘memelihara’ kuasa mereka,” ujar HRW yang mendakwa laporan itu merujuk kepada layanan buruk rejim Tel Aviv ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat, kepungan haram di Genting Gaza dan menduduki Baitulmaqdis Timur.

Pengarah Israel dan Palestin di HRW, Omar Shakir menegaskan amaran tentang ancaman aparteid meningkat sejak beberapa tahun lalu walaupun istilah itu pada mulanya adalah untuk merujuk kepada penindasan terhadap golongan kulit hitam di Afrika Selatan dan kini ia diakui secara universal.

Iklan

Susulan pendedahan laporan itu, HRW menggesa negara antarabangsa supaya tidak melihat isu pendudukan kononnya dapat diselesaikan dengan rundingan damai dan mempertimbangkan semula hubungan dengan Israel termasuk kerjasama ketenteraan.

Sementara itu, Israel yang kini berdepan siasatan jenayah perang yang dilancarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyelar tuduhan kumpulan berpusat di New York tersebut dan mendakwa ia menggunakan agenda anti-Israel seperti sebelum ini.

Iklan

Kementerian Luar Israel juga menyifatkan laporan HRW itu sebagai ‘risalah propaganda’ yang cuba untuk terus mempromosikan tindakan boikot terhadap rejim Tel Aviv.

Dalam perkembangan berkaitan, insiden pertempuran dilaporkan masih berlaku di Baitulmaqdis Timur pada malam Isnin selepas penduduk Palestin terus berdepan sekatan akses ke Masjid al-Aqsa sejak ketibaan Ramadan pada 13 April lalu. - AFP