KUALA LUMPUR - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang merangka penubuhan Suruhanjaya Alam Sekitar Negara bagi memperkemaskan tadbir urus isu berkaitan alam sekitar.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, suruhanjaya itu juga akan merangkumi elemen berkaitan perubahan iklim.
"Isu alam sekitar ini satu isu yang besar dan memang ada keperluan mewujudkan suruhanjaya ini untuk melihat semua elemen termasuk perubahan iklim...supaya kita boleh melihat alam sekitar sebagai suatu elemen bersepadu yang dapat dibangunkan bersama,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan ke Universiti Malaya (UM) di sini pada Selasa.
Pada lawatan itu, beliau turut mengumumkan sumbangan dana penyelidikan berjumlah RM30,000 bagi Projek Imarah Masjid Hijau Akademi Pengajian Islam UM.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kementerian sedang mendapatkan khidmat pakar-pakar berkaitan bagi memperkemaskan penubuhan suruhanjaya itu.
Mengenai Program Masjid Hijau, Tuan Ibrahim berkata, sejak ia dilaksanakan pada September tahun lalu, sebanyak 10 masjid telah mengambil bahagian dalam program berkenaan dan KASA menyasarkan 100 rumah ibadat akan menyertai program itu menjelang 2030.
Program Masjid Hijau yang dilaksanakan menerusi agensi Malaysia Green Technology and Climate Change Centre (MTGC) bertujuan menjadikan fungsi masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadat, malah mampu menyumbang kepada kelestarian alam sekitar merangkumi empat elemen utama iaitu penjimatan elektrik, air, urus sisa buangan dan penggunaan produk hijau. - Bernama